Occupational Health & Safety Policy
ISO 45001:2018
Quality Policy
ISO 9001:2015
Environmental Policy
ISO 14001:2015

Serba Dinamik dapat kontrak RM512.17 juta

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB), Serba Dinamik International Ltd, memperoleh empat kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) dengan gabungan anggaran nilai sebanyak RM512.17 juta.

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu anak syarikatnya itu telah memperoleh kontrak berkenaan daripada Halul Offshore Services Company WLL, Al-Meer Technical Services Co, Midad Industrial Services Saudi Arabia dan Sumtech Multiline Trading LLC.

Ia membabitkan projek-projek di Qatar, Kuwait, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

SDHB juga mengumumkan bahawa sebuah lagi anak syarikatnya, Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB) telah menggondol sembilan kontrak O&M tetapi tanpa sebarang nilai tertentu.

“Kontrak O&M ini tidak mencatatkan sebarang nilai tertentu di mana arahan kerja hanya akan dianugerahkan mengikut budi bicara pelanggan berdasarkan jadual aktiviti dan kadar sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

Menurut SDHB, semua projek-projek yang diperoleh SDSB adalah di Malaysia.

Pelanggan-pelanggan termasuk BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd, PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd, Sapura Exploration & Production Inc, PS Terminal Sdn Bhd, Petronas Chemicals MTBE Sdn Bhd, Petronas Chemicals Amonia Sdn Bhd dan Petronas Carigali Sdn Bhd.

Kontrak berkenaan tidak mempunyai sebarang kesan terhadap pengeluaran modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat, kata SDHB.

“Kontrak yang diperoleh dijangka tidak akan mengenakan sebarang kesan material ke atas aset bersih SDHB dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dan dijangka akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tempoh itu,” kata kumpulan.

-BERNAMA