Occupational Health & Safety Policy
ISO 45001:2018
Quality Policy
ISO 9001:2015
Environmental Policy
ISO 14001:2015

Serba Dinamik catat untung lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd merekodkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM83.2 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2018 daripada RM68 juta yang direkodkan pada suku yang sama 2017.

Perolehan meningkat kepada RM770.2 juta daripada RM653.3 juta pada tempoh yang sama didorong aktiviti segmen pengoperasian dan penyenggaraan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Serba Dinamik berkata segmen berkenaan menyumbang 90.6 peratus kepada perolehan syarikat, naik 22.9 peratus mengikut perbandingan tahun ke tahun, disokong oleh aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih peralatan putaran yang tinggi di Asia Barat, selain aktiviti pemeriksaan, pembaikan dan penyenggaraan peralatan dan struktur statik.

“Segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian mencatatkan perolehan lebih rendah iaitu RM69.2 juta berbanding suku yang sama 2017.

“Segmen berkenaan disokong oleh projek loji rawatan air di Kuala Terengganu, loji jana kuasa hidro di Kota Marudu, Sabah serta projek loji chlor-alkali di Tanzania,” menurut syarikat itu.

Keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2018 meningkat kepada RM278.6 juta daripada RM229.5 juta manakala perolehan bertambah kepada RM2.31 bilion daripada RM1.92 bilion.

Serba Dinamik berkata Malaysia kekal menjadi negara penyumbang terbesar dengan RM219.6 juta pada suku ketiga, atau 28.5 peratus kepada perolehan.

“Sementara itu, rantau Asia Barat adalah penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat bagi peringkat rantau pada RM470.5 juta atau 61.1 peratus kepada perolehan suku ini.

“Peningkatan itu didorong terutama pelaksanaan lebih banyak kontrak di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain berasaskan kerja atas panggilan yang tinggi. Kebanyakan perolehan dari Asia Barat adalah daripada perkhidmatan pengoperasian dan penyenggaraan,” menurutnya.

-BERNAMA