Occupational Health & Safety Policy
ISO 45001:2018
Quality Policy
ISO 9001:2015
Environmental Policy
ISO 14001:2015

Cara pengendalian syarikat Serba Dinamik wajar dicontohi: Talib

 Abdul Kadier (tiga kiri) menyerahkan mesin dan peralatan pemadam api kepada wakil G7 JKKK Kampung Jepak sambil disaksikan Talib (tengah), Temenggung Rosli, Penghulu Drahman (kiri), Dr Zaliha dan Unjar (kanan).
TERBAIK: Abdul Kadier (tiga kiri) menyerahkan mesin dan peralatan pemadam api kepada wakil G7 JKKK Kampung Jepak sambil disaksikan Talib (tengah), Temenggung Rosli, Penghulu Drahman (kiri), Dr Zaliha dan Unjar (kanan).

 

BINTULU: Syarikat-syarikat tempatan di bahagian ini perlu mencontohi cara pengendalian sebuah syarikat yang berjaya dan berintegriti seperti Serba Dinamik Sdn Bhd (Serba Dinamik) sehingga syarikat itu mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat luar negara untuk menjalankan projek di negara tersebut.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, Serba Dinamik menurut pengerusinya Datuk Abdul Kadier Sahib menekankan integriti dalam pelaksanaannya sebelum syarikat itu disenarai dalam Bursa Malaysia

Justeru katanya, ia memperlihatkan akan kepentingan integriti yang tanpanya sesebuah syarikat atau perniagaan itu akan mengalami kegagalan.

Mengambil contoh mengenai tindakan golongan yang suka menipu katanya: “Tiada penipu yang akan berjaya meskipun mereka(penipu) terlepas untuk kali pertama dan kedua namun untuk kali ketiga orang tidak akan mempercayai mereka bahkan kadang-kadang mereka ini akan masuk penjara.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Mesin Pemadam Api oleh Serba Dinamik Sdn Bhd kepada Gabungan 7(G7) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Jepak dan menyempurna penutupan rasmi Kursus Asas Memadam Api yang dikelola Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM)Zon Bintulu di Balai Raya Kampung Jepak semalam.

Dalam hal itu Talib berkata, integriti antara nilai yang ada pada kepimpinan syarikat itu yang boleh dipelajari dan dicontohi oleh semua.

Menurutnya, kejayaan Serba Dinamik mendapat 12 projek di Malaysia, Oman, Indonesia, Kuwait(Timur Tengah) menjelaskan mengenai sikap integriti yang ada dalam kepimpinan syarikat tersebut sehingga mendapat kepercayaan di tiga negara itu.

“Alhamdulilah kita boleh berbangga dengan kejayaan anak tempatan Bintulu ini yang dapat membuat projek di luar negara,” katanya.

Memetik laporan BERNAMA, syarikat Serba Dinamik Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya memperoleh 12 projek pada tahun ini. Lima daripada projek itu diperoleh oleh anak syarikat 75 peratus miliknya, PT Serba Dinamik Indonesia (PTSDI), iaitu tiga kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M), satu kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) dan satu kontrak produk dan perkhidmatan.  

Satu lagi kontrak operasi dan penyelenggaraan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd (SDIL)di Oman. Gabungan anggaran nilai kontrak yang diperoleh itu adalah kira-kira RM320.89 juta, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, kontrak yang diperoleh di Indonesia dan Oman itu akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat di Asia Tenggara dan Timur Tengah.  

“Kami berpuas hati dengan projek-projek ini yang akan membantu meningkatkan pendapatan kami dalam tempoh jangka panjang serta mendekatkan lagi kami dengan sasaran kami bagi tahun ini,” katanya seperti yang dilaporkan.

Dalam perkembangan lain Talib berkata, Serba Dinamik sebagai sebuah syarikat tempatan yang berjaya tidak hanya menekan kepada perniagaan dalam bidang minyak dan gas tetapi turut menjalankan tanggungjawab sosial korporat(CSR)untuk penduduk Bintulu di kawasan Jepak yang telah menyumbang peralatan pemadam api dan menaja kursus asas memadam api.

“Serba Dinamik mengkhusus dalam bidang minyak dan gas, pada dasarnya amat mementingkan isu keselamatan bahkan piawaian keselamatan diletak di tahap amat tinggi. Maka itu kita berterima kasih kepada Serba Dinamik dan JBPM Zon Bintulu yang sama-sama bekerjasama membantu kita menjayakan kursus ini,” katanya.

Katanya, kadang-kadang kebakaran hanya bermula dari kecil namun akibat panik, salah teknik memadam api menyebabkan api yang kecil menjadi besar. Begitupun katanya, dengan adanya kursus seumpamanya diharap masalah kebakaran dapat dielak.

Hadir sama isteri Talib Datin Dr Zaliha Abdullah, Pengerusi Serba Dinamik Sdn Bhd Datuk Abdul Kadier Sahib, Ketua JBPM Zon 5 Bintulu Unjar Lum, Temenggung Rosli Kamaruddin, Penghulu Drahman Kawi dan ketua-ketua masyarakat setempat.